Powered By Blogger

"Keris"

"Keris"
sebagai simbol perjuangan orang Melayu

Rabu, 3 Februari 2010

Isu Penggunaan Nama ALLAH

Assalamualaikum kepada pembaca yang dikasihi,
baru-baru ini negara telah digemparkan oleh isu penggunaan nama "ALLAH" oleh sebuah akhbar katholic herald...

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

Apa yang merunsingkan umat Islam di Malaysia pada hari ini adalah ditakuti umat ISlam itu sendiri terkeliru dan terpengaruh oleh segelintir pendakyah yang mengambil kesempatan menyesatkan umat Islam Malaysia pada masa kini. Isu Umat Islam murtad semakin hari semakin menjadi-jadi cuma kita sahaja tidak sedari. Kita harus meneliti dan mengkaji dari segala aspek yang paling penting didalam menangani sesuati isu yang paling sensitif seperti isu Penggunaaan nama "ALLAH" oleh orang kristian. Apa yang kita bimbangkan adalah mengenai akidah Umat Islam yang dicintai yang mungkin akan dipesongkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.
Pembaca yang dihormati, penulis merasakan isu ini sengaja dipolitik kan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencari salah orang atau parti lain. Cuba lah berfikir secara rasional dan tidak mementingkan propaganda atau agenda politik semata-mata. Diharap isu ini dapat diselesaikan segera dengan bijaksana dan saksama. sekian, wassalam

Isnin, 25 Januari 2010

salam 2010 kepada semua

Assalamualikum dan salam satu Malaysia kepada semua, terlebih dahulu penulis ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih bernafas lagi di dalam dunia yang penuh cubaan ini. Penulis juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang sudi singgah menatap blog ini dan berharap lebih banyak lagi komen dan idea dilontarkan untuk kita sama-sama memperingati dan menambah lagi ilmu pengetahuan mengenai arena politik semasa. sekian dahulu, wassalam....

Rabu, 17 September 2008

Peralihan Kuasa?

Kepada pembaca semua penulis terlebih dahulu ingin mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa. Didalam bulan puasa yang mulia ini kita sebagai umat islam haruslah sentiasa melakukan banyak amal ibadah daripada biasa insyaallah. Apa yang penulis perhatikan segala rentetan peristiwa yang berlaku dari awal Ramadhan sehingga kini mengenai perkembangan politik semasa amatlah mengejutkan.
Seharusnya di bulan Ramadhan ini kini dituntut unutk mengawal segala nafsu dan tingkahlaku. Namun begitu manusia tetap manusia yang selalu melanggar peraturan dan tuntutan agama. Penulis lihat mengenai perkembangan politik UMNO yang semakin hangat dan dihangatkan lagi dengan isu “Peralihan Kuasa” yang begitu menjadi coverage yang begitu meluas sekali di media tempatan. Pak din oh Pak Din bulan puasa elok-elok lah bermuhasabah diri jangan terlalu ikut nafsu dan perasaan kerana tidak mendapat kebaikan. Bukan niat penulis ingin menyalahkan sesiapa tetapi sekadar renungan bersama. Inilah dia bila terlampau bebas membuat kenyataan akhbar macam-macam boleh terjadi. Jika diimbas kembali pada zaman Tun Abdul Razak memang berbeza sekali pendekatan yang telah digunakan didalam membentuk peribadi samada di peringkat MT mahupun akar umbi ahli UMNO. Tun razak memang seorang pemimpin yang “steady” dan “firm” dalam menjalankan tanggungjawab. Jikalau beliau ingin menegur sesiapa sahaja yang telah melakukan kesalahan pastinya akan beliau tegur “face to face personally”. Tapi jika dilihat sekarang sudah terbalik kerana orang bawahan pula yang naik minyak tak pasal-pasal nak suruh Pak Lah buat ini buat itu macam tak belajar adab sopan. Sungguh tepat pepatah melayu mengatakan ibarat “ Musang berbulu ayam” ataupun “paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Penulis pasti ini adalah penyakit kronik kronisme dalam UMNO yang semakin menjadi-jadi yang dipopularkan oleh Tun.
Cuba lihat kesan dari sikap yang boleh dikatakan kurang ajar ini yang sudah menjadi trend pada masa sekarang. Media itu adalah satu senjata yang lebih tajam dari pedang malahan lebih berbahaya daripa bom atom sekalipun. Kekuatan media mampu memecahbelahkan masyarakat dan orang Melayu sendiri jika tidak dikawal dan dibiarkan terlalu bebas. Pada zaman kegemilangan Tun perkara ini pasti tidak berlaku kerana pendekatan Pak ISA yang selalu digunakan tetapi tidak mendapat tentangan habis-habisan seperti hari in. Seharusnya nasihat yang diberikan oleh Mubarak adalah tepat sekali kerana mereka-mereka yang menggesa ini harus mermuhasabah diri di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Penulis masih ingat kata-kata Tun Razak dalam sebuah buku, “adalah lebih baik mewujudkan beribu-ribu usahawan Melayu pada zaman pemerintahan beliau daripada wujudnya segolongan Melayu elit yang kaya raya lupa daratan yang diasaskan oleh Tun. Rasanya Pendekatan yang digunakan oleh Pak Lah adalah kesinambungan perjuangan Tun Razak kepada membela nasib orang Melayu luar bandar yang miskin. Lihatlah pada hari ini masih ada orang Melayu yang hidup susah namun yang Kaya bertambah kaya hasil dari cara kapitalis yang diamalkan lebih dua puluh tahun oleh Pemimpin hebat dan dikenali seluruh dunia. Ini adalah luahan ikhlas daripada penulis bagi memperjuangkan nasib orang Melayu, orang Islam dan rakyat. Kalau Melayu sesama Melayu sering bertelagah bagaimana kita orang Melayu boleh bersatu dengan bangsa lain? Fikir fikir dan muhasabah diri kita semua demi membentuk Masyarakat Melayu yang harmoni . sekian..

Isnin, 8 September 2008

Hari ini dalam sejarah

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.

Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

- oleh Arkib Negara Malaysia

Sabtu, 30 Ogos 2008

MERDEKA...MERDEKA...

Assalamualaikum kepada para pembaca semua, hari ini negara kita telah menyambut hari Kemerdekaan yang ke lima puluh satu. Alhamdulillah penulis ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana telah melimpahkan kurnia dan rezeki kepada kita selama ini. Penulis merasakan sungguh gembira bercampur hiba apabila mengenangkan kembali sejarah perjuangan nenek moyang kita didalam mendapatkan kemerdekaan tanah air.

Segala usaha yang telah dilakukan untuk menjaga keamanan dan kemakmuran rakyat haruslah diteruskan tanpa rasa ragu-ragu. Pemimpin silih bertukar ganti namun untuk mengekalkan Kemerdekaan yang ada pada hari ini adalah tanggungjawab kita semua. Jika kita kembali kepada zaman Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan pejuang-pejuang Kemerdekaan yang lain, pada waktu itu betapa peritnya mereka ini termasuklah nenek moyang kita untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

Banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan sebelum ini sehingga terpaksa menggadaikan harta dan nyawa untuk membebaskan tanah air daripada kongkongan penjajah yang zalim. Jadi sempena hari kemerdekaan yang ke lima puluh satu ini bersama-samalah kita menanamkan semangat cintakan negara dan bermuhasabah diri. Ekoran daripada apa yang berlaku sejak kebelakangan ini seperti kenaikan harga minyak dan barangan harian yang lain, kita sebagai rakyat tidak seharusnya cepat melatah. Kita semua harus ingat dugaan yang datang pada hari ini adalah kecil jika dibandingkan dengan zaman sebelum kemerdekaan.

Mungkin kita sudah biasa hidup mewah dan senang lenang selama berpuluh-puluh tahun sampaikan bila timbulnya satu krisis kita semua berpecah belah dan bertelagah sesama sendiri. Pada saat krisis begini, seharusnya ia menjadi satu kebangkitan untuk kita semua orang Melayu bersatu padu mencari jalan penyelesaian untuk menangani segala kesulitan yang telah berlaku. Penulis berpendapat setiap orang Melayu harus senantiasa merujuk kembali kepada sejarah perjuangan lampau orang-orang Melayu untuk bangkit dan sedar mengenai betapa pentingnya untuk kita bersatu padu. Sejarah mungkin boleh berulang jika kita leka dan lalai dengan keamanan dan kemewahan yang kita kecapi selama ini. Oleh itu bersama-samalah kita menghayati kembali sejarah Kemerdekaan dan juga tema hari Kemerdekaan yang ke 51 iaitu "Perpaduan Teras Kejayaan" , sekian.

Jumaat, 29 Ogos 2008

Apa dah jadi dengan UMNO?

Umum semua tahu mengenai kisah sejarah perjuangan UMNO semenjak dari zaman sebelum kermerdekaan. Dalam memperjuangkan Hak orang Melayu dan mendapatkan kemerdekaan tanah air tercinta, semua pemimpin dan ahli UMNO ketika itu sudah semestinya mempunyai matlamat perjuangan yang sama. Sudah pastinya agenda untuk memartabatkan bangsa Melayu itu sendiri telah menjadi sebagai satu asas yang kukuh didalam meneruskan perjuangan yang tidak pernah bernokhtah. Masa berlalu begitu pantas sekali meninggalkan memori silam yang sentiasa terpahat didalam hati setiap orang Melayu. Tapi apa yang menjadi persoalan adalah, apakah matlamat perjuangan tersebut sudah berubah? penulis sudah bertahun-tahun mengikuti perkembangan UMNO samada secara langsung ataupun tidak langsung tapi apa yang diperhatikan oleh penulis adalah matlamat UMNO sebenarnya semakin hari semakin menjadi kabur.
Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini timbul banyak isu seperti rasuah, berpuak-puak, perebutan kuasa di semua peringkat kepimpinan dan banyak lagi perkara yang melambangkan kebrorokan parti. Apa dah jadi dengan matlamat perjuangan yang selalu dibahaskan di perhimpunan peringkat cawangan mahupun peringkat kebangsaan? penulis merasakan segala konflik dalaman harus segera diselesaikan kerana ada perkara yang lebih penting harus dilakukan iaitu membela nasib rakyat. Sekarang bukan zaman untuk buat duit, buat kroni, menggunakan kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk kepentingan diri sendiri. Sekarang adalah masa untuk membela nasib rakyat dan perjuangan orang Melayu "Dulu, Kini dan Sekarang".
Perkara ini telah menjadi begitu serius ibarat penyakit barah yang susah diubati jika tidak diubati diperingkat awal dan dengan kadar yang segera. Lihatlah apa yang terjadi kepada Pilihanraya yang lepas, UMNO seolah-olahnya sudah tidak relevan lagi kepada orang Melayu dan ia sungguh mendukacitakan. Penulis sendiri berasa kecewa dengan apa yang telah terjadi sejak bertahun-bertahun dan sehingga hari ini perkara yang remeh-temeh seperti ini tidak dapat ditangani.
Pada pandangan penulis perubahan harus dilakukan di semua peringkat begitu juga dengan sikap ego dan tamak yang harus disingkirkan dengan segera. Pada mereka yang sudah lama melakukan salah laku dan terpesong daripada landasan perjuangan UMNO sudah tiba masanya untuk mereka (perosak) meninggalkan parti dan berikan peluang kepada orang yang lebih layak dan berkaliber. Sudah tiba masanya untuk kita semua bermuhasabah diri dan sentiasa mengingati matlamat perjuangan UMNO yang sebenar "dulu, kini dan sekarang" memperjuangkan nasib orang Melayu dan rakyat. sekian...

Isnin, 25 Ogos 2008

Kenapa AUKU harus dihapuskan?

Assalamulaikum kepada pembaca semua, penulis ingin megulas mengenai isu AUKU yang menjadi topik hangat kebelakangan ini. Sebelum penulis meneruskan ulasan yang seterusnya, ada satu persoalan yang ingin diajukan kepada semua orang Melayu itu sendiri, Apakah yang anda faham mengenai AUKU? sejauh manakah orang Melayu hari ini terutamanya pelajar-pelajar Universiti dan Kolej pernah membaca AUKU dengan sebetul-betulnya. Isu ini memang semakin hangat apabila disensasikan oleh pihak disebelah sana yang tidak menggunakan akal dan kebijaksanaan didalam membahaskan isu AUKU ini. Bagi penulis ianya tidak wajar disensasikan dan dijadikan isu yang sampai meganggu kententeraman pelajar itu sendiri. Untuk menjelaskan persoalan ini penulis akan mengungkap segala persoalan yang timbul selama ini. Untuk makluman pembaca, AUKU adalah singkatan daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, (Tarikh Perkenan Diraja 27 April 1971) . Setelah penulis membaca apa yang terkandung dalam AUKU perkara seperti berikut telah dikenalpasti:

1) Bahagian III Seksyen 15 - Pelajar atau pertubuhan , badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan , dsb kecuali sebagai mana diperuntukkan di bawah Perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor.

2) Bahagian III Seksyen 15A - Pelajar atau pertubuhan , badan atau kumpulan pelajar dilarang memungut wang.

3) Bahgian III Seksyen 15B - Tanggungan jenayah pemegang jawatan, dll, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar.


jika pembaca melihat kesemua diatas ia adalah ringkasan daripada seksyen yang diperuntukkan bagi melarang seseorang pelajar mahupun berkumpulan menyertai sesuatu pertubuhan ataupun parti politik. Kajian kes pertama: jika seksyen tersebut diatas tidak memberikan kebebasan pelajar unutk menceburi mana-mana parti politik kenapa harus Seksyen yang lain dihapuskan? kenapa AUKU harus dihapuskan sama sekali walhal hanya Sekysen diatas sahaja yang menjadi isu utama? cuba pembaca fikirkan apa yang terkandung dalam AUKU ini yang selebihnya?

Penulis ingin berkongsi pengalaman penulis semasa berada di Universiti dahulu dimana ia mungkin dapat memberikan satu Idea atau jawapan kepada persoalan ini. Jika pelajar betul-betul ingin merasai pengalaman terlibat dengan politik sudah tentu tidak ada salahnya. Sebenarnya penulis bernasib baik kerana telah mengambil subjek Komunikasi Politik, dengan Kebijaksanaan Prof Madya Dr subjek tersebut, beliau telah memberi tugasan kepada penulis dan rakan kelas menubuhkan parti politik sendiri dan melakukan aktiviti seperti, kempen, perang poster,risalah, berdebat, memabahaskan manifesto dan sebagainya. Ini dilihat sedikit sebanyak dapat memberikan pengalaman yang berharga kepada penulis dan rakan kelas yang lain. Pendekatan ini harus digunakan dengan meluas sekali di semua Universiti dan Kolej yang ada di Malaysia didalam usaha untuk menjadikan pelajar menjadi lebih matang sebagai generasi yang bakal menyandang tugas kepimpinan negara pada masa akan datang.

Baiklah sebenarnya banyak lagi perkara yang terkandung didalam AUKU ini yang tidak dibaca sepenuhnya oleh pelajar itu sendiri mahupun pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya akan ungkapkan salah satu perkara penting yang terkandung dalam AUKU ini.

1) Bahagian III Seksyen 6 - Memperbadankan dan Menubuhkan suatu Universiti (1) Jika, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suai manfaat demi kepentingan negara supaya suatu Universiti ditubuhkan dia boleh dengan perintah

a) mengisytiharkan ditubuhkan suatu isntitusi pelajaran tinggi yang mempunyai taraf Universiti yang menjadi suatu pertubuhan perbadanan bagi maksud mengadakan, memajukan dan mengembangkan pelajaran tinggi dalam semua cawangan pelajaran mengikut sebgaimana yang dinyatakan dalam perintah itu;
b) memberikan nama dan gelaran kepada universiti itu; dan
c) menetapkan letaknya tapak tempat Universiti itu akan didirikan.

diatas merupakan contoh Seksyen yang terdapat didalam AUKU dan banyak lagi Perkara yang berkaitan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong. Wajarkah orang Melayu sendiri tidak hormat kepada perlembagaan dan peranan Yang di-Pertuan Agong? jangan jadi macam Ali Baba yang sentiasa tidak puas hati dengan Hak Istimewa orang Melayu. Mereka merupakan kumpulan yang tidak tahu mengenang budi diatas apa yang telah diberikan kepada mereka selama ini. Seharusnya generasi baru mereka harus diajar mengenai sejarah Tanah Melayu mungkin baru mereka sedar dan faham tentang perkara ini. Diharap dengan penjelasan ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai isu AUKU yang disensasikan selama ini. sekian, wassalam.